Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks
Showing posts with label jdt. Show all posts
Showing posts with label jdt. Show all posts

Isu kontrak: PBNJ rujuk kes Gary kepada FAM

Isu kontrak: PBNJ rujuk kes Gary kepada FAM


JOHOR BAHRU: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan menyerahkan isu pemain tengah, Harimau Malaya, Gary Steven Robbat kepada Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dilaporkan menandatangani kontrak dengan Pahang dan Kedah untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya berkata pihaknya akan menghormati sebarang keputusan jawatankuasa berkenaan selepas mendengar penjelasan daripada semua pihak yang terbabit.
"Mengenai isu Gary, kita pada dasarnya sedang menghadapi keadaan di mana seorang pemain menandatangani kontrak dengan dua pasukan berbeza pada masa yang sama.

"Dalam keadaan seperti ini, Jawatankuasa Status Pemain FAM akan menyiasat dan menghubungi persatuan serta pemain terbabit bagi menentukan pasukan yang akan diwakilinya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Fahmy berkata PBNJ berharap isu berkenaan tidak mengganggu tumpuan Gary yang kini sedang menggalas tugas untuk perlawanan Piala AFF Suzuki 2014.
Akhbar melaporkan Gary yang didakwa sudah menandatangani kontrak dengan Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan turut berada dalam senarai skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah.
Gary dan rakan seperjuangannya dalam skuad Harimau Muda A, D Saarvindran dikatakan menandatangani kontrak bersama skuad Tok Gajah bulan lalu tapi menyatakan persetujuan menyertai JDT selepas beberapa minggu.
Sementara itu, Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook rasmi JDT dan JDT II, Johor Southern Tigers, menyeru Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendidik pemain tentang hak dan perjanjian kontrak.
Tunku Mahkota Johor itu bertitah pemain perlu tahu mereka bebas bermain di mana sahaja kerana perkara itu terkandung dalam hak-hak mereka, namun, dengan syarat mereka mematuhi profesionalisme dan menghormati kontrak masing-masing.
"PFAM perlu mula mendidik pemain mengenai hak-hak mereka dan perjanjian kontrak kerana kami berasa dukacita apabila ada pasukan yang mengancam dan memeras ugut beberapa pemain dengan menggunakan keluarga mereka, peminat dan juga wang ringgit.
"Era baru profesionalisme perlu bermula dari kedua-dua pihak persatuan dan pemain bola sepak, dan ia perlu bermula sekarang, supaya kita tidak perlu melalui masalah ini pada masa akan datang.
"Saya juga menggesa FAM untuk melihat perkara ini dengan lebih serius," titah Tunku Ismail. - BERNAMA

TMJ ‘Belasah’ Media Tempatan

TMJ ‘Belasah’ Media Tempatan

TMJ-JDT

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertikaikan laporan-laporan media tempatan terhadap JDT yang disifatkannya lebih berminat untuk mensensasikan setiap peristiwa yang remeh membabitkan Harimau Selatan itu.

Baginda yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) ternyata kecewa dengan sesetengah ketua editor dan produser sesetengah media yang menurutnya kerap kali gagal menyampaikan berita positif yang dilaksanakan oleh JDT.

Tunku Mahkota Johor memberikan contoh kegagalan media tempatan menonjolkan perjanjian usahasama JDT dengan kelab-kelab gergasi bolasepak Eropah seperti Manchester City dan Borussia Dortmund, pembangunan akar umbi, pembinaan akademi seluas 35 ekar di Kulaijaya, sumbangan kepada mangsa banjir dan fasiliti sedia ada.

“Adakah Johor bukan sebahagian daripada Malaysia? Adakah terdapat kempen peribadi untuk menjatuhkan Johor Darul Takzim atau kerana keluarga Diraja Johor tidak pernah memberikan sebarang penganugerahan seperti pangkat Datuk kepada mereka,”.

“Sikap tidak profesional seperti inilah merupakan faktor negara kita tidak akan maju,” kata baginda.

Pasukan selatan tanah air itu menurut Tunku Ismail mendapat liputan yang lebih baik daripada media asing berbanding negara sendiri.

Baginda memberi contoh bagaimana usaha JDT meningkatkan pembangunan bolasepak tempatan telah disiarkan secara meluas oleh stesen televisyen Jepun, sedangkan pada masa yang sama Harimau Selatan ‘terus diserang dan dijadikan sasaran oleh sesetengah media tempatan’. – MalaysiaGazette